MESKIPUN tidak lagi bersama, pengarah sensasi Syamsul Yusof tetap mendoakan jodoh yang terbaik buat bekas isterinya, Puteri Sarah Liyana kelak.

Syamsul atau nama lengkapnya Mohd Syamsul Mohd Yusof, 39, berkata, Puteri Sarah layak untuk hidup bahagia dengan mana-mana lelaki pilihannya.

"Sekiranya Sarah nanti berkahwin dengan mana-mana lelaki, saya tetap akan mendoakan dia.

"Saya mahu melihat seorang lelaki yang baik untuk dia supaya dia merasa bahagia.

"Bila nanti anak-anak bersama ayah baru mereka, saya kena terima dan begitu juga dengan Sarah," katanya kepada Gempak ketika ditemui.

Sementara itu, ketika diminta Puteri Sarah untuk mengulas mengenai harapan bekas suaminya itu, aktres berkenaan hanya membalas ringkas - "Saya aminkan sahaja”.

Terdahulu sebelum melafazkan cerai itu, Puteri Sarah dan Syamsul dilihat bersalaman dan masing-masing kelihatan tenang.

Pada 25 Mei lalu, Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur dimaklumkan tiada ruang untuk Syamsul dan Puteri Sarah untuk berdamai dalam kemelut rumah tangga mereka.

Ini kerana Jawatankuasa Pendamai (JKP) yang telah dibentangkan di mahkamah mengesahkan berlaku shiqaq (perbalahan yang berpanjangan) pada pasangan itu dan kewujudan pihak ketiga.

Dalam prosiding hari ini, Puteri Sarah diwakili peguam syarie Datuk Akberdin Abdul Kader manakala Syamsul diwakili peguam syarie Azmi Mohd Rais. - Gempak